Monday 16 May 2011

Iris.

Prolog
Saat terdampar ke lembah paling hitam dan kabur, siapa yang perlu dipersalahkan! Meski zahir tertutup mati hendak kembali tapi hati menggelodak untuk tinggalkan semuanya. Adakah penjelasan paling jelas dalam memutihkan memori hitam yang takkan pernah tanggal dari jiwa. Berkesempatankah dia untuk mendapatkan sesuatu yang pernah hilang dan adakah jalan untuk keluar dari kehidupan ini kalau rahsia kekal sebagai sebuah rahsia.

Dia terus mengheret kakinya ke laluan utama. Hari ini, satu lagi misi akan diselesaikan. Perlu pantas dan cekap. Dia tidak mahu berlama-lama di negara asing ini dan sangat tidak menyukai tempat itu. Kalau sahaja bukan kerana mahu membantu dan menunaikan permintaan seorang kawan yang berpengaruh serta arahan Tuan Kerch agar dia melakukan perkara itu, tidak mungkin dia mahu melakukannnya.
Maksim masuk ke dalam bangunan paling mewah pernah dijumpanya, dia yakin maklumat yang diterimanya sangat tepat dan tahu sasarannya begitu hampir. Jaket labuh hitam yang dipakai dan air muka yang serius cukup untuk membuatkan tiga orang pekerja hotel di situ tertunduk-tunduk seolah-olah takut hendak melihat matanya. Hotel mewah itu sangat senyap sepanjang dia berada di tingkat lima dan sedang membaca peta yang merujuk kawasan sasaran. Tepat seperti yang diberitahu oleh pekerja di kaunter tadi, di tingkat itu terdapat kawasan ballroom dan tempat makan yang dikhaskan untuk para pelanggan yang menginginkan sebuah perjumpaan penuh rahsia.

Dia terus berjalan dari sebuah bilik ke sebuah bilik. Semuanya kosong dan tidak memberikan sebarang petanda. Maksim berjalan dengan mata yang penuh waspada. Apa sahaja pergerakan, di depan atau belakang, kiri dan kanan semuanya perlu disedari tanpa sebarang kelekaan. Kecuaian kecil mungkin akan membuatkannya terlepas sasaran mahupun terbunuh di tangan musuh.
Ketika dia tiba di simpang antara kiri dan kanan, Maksim lantas bergerak ke tepi dan menyandarkan dirinya ke dinding. Kepalanya dijengulkan sedikit memastikan dahulu tempat itu tidak terancam. Dia telah berjaya menemui lokasi perbincangan sasarannya, di situ terdapat sebuah bilik yang hanya diawasi oleh seorang lelaki sedang berdiri di hadapan pintu. Matanya mengekor ke segenap arah dan setelah yakin keadaan sekitarnya Maksim keluar dari pengawasan walaupun dia menyedari apa yang ada di balik kemeja pengawal pintu tersebut dia terus melangkah dengan tegar menuju ke misi lanjutnya.

Bagaimanapun, sewaktu Maksim hampir beberapa kaki dari tempat pengawal itu berjaga, lelaki itu lantas berpaling ke kiri dan mula mencurigainya di situ. Mata Maksim tajam melihat tangan lelaki itu bergerak ke dalam kemejanya sebelum mengeluarkan sesuatu tapi tidak pantas bertindak kerana Maksim terlebih dulu menghalakan muncung silencer Glock 19 lalu melepaskan peluru senyap tepat ke jantungnya lantas rebah serta-merta di depan pintu.

 Mayat pemuda cina itu dilangkah sahaja ketika tangannya memusing tombol pintu perlahan. Ada beberapa orang lelaki di dalamnya sedang seronok berketawa dan langsung tidak cuba melihat siapa yang berdiri di muka pintu itu sekarang. Kebodohan yang tidak disangka-sangka pada perkiraan Maksim.

Hello.. goodnight sir… “ ucap Maksim getir bila mereka masih tidak perasan akan kedatangannya.

Empat orang lelaki yang duduk bersila di depan meja rendah seperti gaya Jepun berpaling padanya dengan riak muka terkejut. Tapi… Maksim telah mengangkat senjata pencabut nyawanya dan melepaskan peluru untuk setiap mereka yang gagal bertindak pantas. Sama seperti pengawal mereka di luar tadi… seorang dari mereka cuba menembaknya, namun tembakan itu tersasar ke dinding, Maksim sempat menunduk sebelum kembali menembak dan membunuh kesemuanya tanpa sisa. Dia mengesahkan dua daripadanya adalah Norbert dan William, pengasas kumpulan pengedar senjata dan pemerdagang manusia yang terkenal dengan jolokan sebagai ketua Geng Kai di negara China.

Sejurus memastikan yang dia telah melakukan kerjanya dengan sempurna dan terancang. Dia lantas keluar dari pintu yang menyembunyikan empat mayat lelaki tanpa disedari oleh sesiapa pun. Kot labuhnya berkibaran sepanjang lorong menuju ke lif, mukanya bersahaja dan mengandung rasa tanpa bersalah kerana meyakini yang misinya tamat sejurus membunuh dua kepala utama kumpulan yang sedang diburu Interpol sejak bertahun-tahun yang lalu. Maksim terus mendapatkan lif dan turun ke bawah dengan selamat.

Dia akan mendapat bayarannya bila berita melaporkan kejadian tersebut pada lewat malam nanti. Buat masa ini.. dia cuma perlu meninggalkan Shanghai secepat mungkin.



No comments:

Post a Comment